Tuesday, October 7, 2008
GILIRAN AMERIKA MERASA KAGUM TERHADAP KEMAMPUAN HIZBULLAH
Setelah regim Zionis Israel mengakui kehebatan Hizbullah Lebanon, sekarang giliran Amerika Syarikat pula yang terpaksa mengakui kekuatan gerakan tersebut. Badan Penyelidikan Strategi Ketenteraan Amerika Syarikat dalam sebuah laporannya menyatakan, "Hizbullah mampu menghadapi Zionis Israel jauh lebih baik dari tentera negara-negara Arab. Selain itu, gerakan ini juga mampu menyebabkan Zionis Israel terpaksa menanggung kerugian besar dalam peperangan selama 33 hari pada tahun 2006 yang lepas. Hizbullah umpama sebuah pasukan yang paling terancang dan ampuh dalam menghadapi tentera Israel."
Dalam peperangan selama 33 hari itu, regim Zionis Israel yang disokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat akhirnya berputus asa dan terpaksa akur dalam menghadapi keperkasaan para pejuang Hizbullah. Selain itu, para pendukung Zionis turut mengakui kehebatan Hizbullah Lebanon itu. Tentu saja, kenyataan tersebut membuatkan Israel kian terpukul dan tersungkur. Sebaliknya, Hizbullah bakal meningkat imej dan kekuatannya.
Pada 12 Julai 2006, regim Zionis Israel memulakan serangan dahsyat dalam skala yang amat besar ke atas bumi Lebanon. Serangan ketenteraan itu membawa bersama sebuah perancangan besar yang diistilahkan sebagai "Peta Timur Tengah Baru". Bermula dari Lebanon, Zionis Israel ingin menjajah beberapa wilayah lain di Timur Tengah. Dalam pencerobohan tersebut, Zionis Israel yang berangan-angan akan menundukkan Lebanon dalam waktu yang singkat seperti perang-perang sebelumnya, namun terlepas pandang tentang kewujudan sekelompok kecil para pejuang yang bersemangat waja dalam mempertahankan tanah air mereka. Kekuatan gerakan penentangan Hizbullah Lebanon tidak termasuk dalam perkiraan regim tersebut. Dengan penuh kesombongan, Zionis Israel yang didukung oleh Amerika Syarikat telah melancarkan serangan membabi-buta ke bumi Lebanon. Namun Hizbullah tidak membiarkan Zionis Israel untuk memijak dan menghancurkan harga diri bangsa Lebanon. Para pejuang Hizbullah bangkit untuk melawan Zionis Israel dan berjaya mengalahkan regim kejam itu. Walhal Zionis Israel pada ketika itu disebut-sebut sebagai sebuah kekuatan yang paling kuat di rantau Timur Tengah.
Dengan kemenangan tersebut, Hizbullah telah menggugat kestabilan negara-negara kuasa besar dunia. Mereka terpaksa menerima kekalahan tersebut dari sebuah gerakan kerdil yang dipimpin oleh Hujjatul Islam Sayyid Hasan Nasrullah. Sebelum kemenangan dalam perang pada tahun 2006, Hizbullah juga pernah berjaya menghalau pasukan tentera Zionis Israel dari kawasan selatan Lebanon pada tahun 2000. Dengan mencetuskan perang pada tahun 2006 itu, Zionis Israel telah terjebak di 'lubang maut'. Regim tersebut kemudiannya berusaha gigih untuk keluar dari 'lubang maut' yang menjeratnya dengan meminta bantuan dari negara-negara sekutunya. Bantuan ketenteraan Amerika Syarikat pun mula mengalir masuk bagi mencegah kekalahan lebih teruk anak emasnya iaitu Israel. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Kekalahan perlu diakui oleh regim itu setelah berperang dengan para pejuang Hizbullah yang begitu liat untuk ditumpaskan.
Sementara itu, Hizbullah tidak sekadar memperkuatkan sistem pertahanannya sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi kemungkinan serangan susulan dari Israel tetapi juga bagi mengukuhkan pengaruhnya di arena politik Lebanon dan rantau Timur Tengah. Perkara tersebut mampu dinilai berdasarkan penyertaan aktif Hizbullah dalam pelbagai isu. Peranan penting Hizbullah dalam "Kelompok 8 March' dan popularitinya yang begitu luar biasa di kalangan rakyat Lebanon dan rantau Timur Tengah telah mencerminkan kekuatan jitu gerakan tersebut yang berasaskan pada rakyat dan nilai-nilai Ilahi. Kehebatan Hizbullah inilah yang memaksa para pegawai Tel Aviv dan Washington untuk merasa kagum.
Labels:
Isu Israel dan Hizbullah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment