WASHINGTON – Tentera Amerika Syarikat di Iraq menyifatkan operasi mereka di Syria terhadap pejuang asing sebagai berjaya, ketika Damsyik mendakwa tindakan Washington itu sebagai 'pencerobohan pengganas'.
Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali berkata, operasi itu turut berjaya membunuh pemimpin pejuang asing yang paling dikehendaki, Abu Ghadiya. "Ini merupakan pengesahan pertama Amerika yang melakukan serangan di wilayah Syria, sekali gus memberi isyarat bahawa Washington mula menggunakan taktik agresif terhadap pemberontak di sepanjang kawasan sempadan Iraq, yang turut digunakan ke atas pengganas di sempadan kawasan kabilah di Pakistan," katanya.
Bagaimanapun Menteri Luar Syria, Walid Mu'allem menyifatkan serangan itu sebagai satu jenayah dan pencerobohan pengganas. "Menurut undang-undang antarabangsa, membunuh orang awam bermakna pengganas," katanya pada sidang akhbar di London selepas mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Luar Britain, David Miliband.
Menurut pegawai media Syria, lapan orang awam terbunuh dalam serangan itu, termasuk kanak-kanak.
Ditanya sama ada Syria akan bertindak balas jika Amerika menyerang lagi, beliau berkata :
"Jika Amerika melakukannya sekali lagi, kami akan mempertahankan wilayah kami." Menteri Syria itu berkata, empat helikopter Amerika telah melintasi sempadan Syria beberapa hari sebelumnya dan dua daripadanya mendarat di timur laut Syria, manakala dua lagi mengawasinya. Askar-askar yang diturunkan kemudiannya menembak orang awam yang sedang berkebun, termasuk seorang nelayan dan tiga orang anaknya. "Mereka semua adalah orang awam yang tinggal di wilayah Syria, tindakan itu tidak berperikemanusiaan," katanya.
No comments:
Post a Comment