Sunday, October 5, 2008

MAJID MAJIDI MENGAJAR AGAMA DALAM FILEMNYA

Bolehkah filem mengajar prinsip tauhid? Barangkali menurut sebahagian besar karyawan filem kita, ianya tidak mungkin. Kerana jawapannya, menurut mereka, filem dengan pengisian tauhid tidak boleh pecah panggung. Atau filem adalah filem dan agama adalah masjid. Fahaman sekular ini sama sekali menafikan kehadiran Tuhan dalam pawagam.
Bagaimana jika kita memasjidkan filem? Yakni filem menjadi sekolah tauhid? Filem 'Khudo Miyod' (Tuhan Akan Datang) oleh Majid Majidi menunjukkan bahawa sinema spiritual boleh sahaja menjadi satu silibus agama yang mengharukan.
Majid Majidi, pengarah filem tersohor dari Republik Islam Iran dilahirkan di Tehran pada tahun 1959 dari keluarga kelas pertengahan. Dalam usia 14 tahun, Majid telah berlakon banyak pementasan teater termasuk teater tradisional Iran iaitu 'ta’ziyah' (khusus untuk mengingati tragedi Karbala'). Minat ini kemudian membawa Majid mempelajari seni secara lebih tersusun di Institut Drama Tehran.
Keajaiban Revolusi Islam tahun 1979 telah membuka minatnya dalam dunia filem, untuk menyahut cabaran Imam Khomeini (qs) demi mengisi spiritual dalam sinema. Cabaran ini mendorongnya berlakon dalam filem-filem arahan Mohsen Makhmalbaf berjudul 'Baykot' (1985) dan 'Teer Baran' (1986) oleh Ali Asghar Shadaravan. Dari situ, beliau mengutip pengalaman dan memilih untuk mengarah sendiri karyanya menerusi 'Baduk' (1992). Filem ini menyerlah di Pesta Filem Cannes, Perancis dan mulai meraih anugerah serta perhatian antarabangsa. Kredibiliti Majid berkembang melalui 'Bacheho-Ye-Osemon' (1997) dan beliau dicalonkan untuk kategori filem asing terbaik di anugerah Oscar. Beliau juga turut mencuri tumpuan dengan 'Rang-e-Khudo'.
Filem beliau yang dikenali sebagai 'Bacheho-Ye-Osemon' (Children Of Heaven) ini adalah mengenai pasangan adik beradik yang berkongsi sepatu. Dan ya, anak bernama Ali itu memenangi perlumbaan. Kerana Ali menurut Majid adalah yang paling berhak dalam apa pun persaingan.
Namun, 'Khudo Miyod' (Tuhan Akan Datang) yang diarahkannya pada tahun 1995 dapat menjadi satu contoh sinema spiritual yang luar biasa. Mana tidaknya, kisah pasangan adik beradik yang bertungkus lumus memikirkan cara untuk merawat ibunya yang sedang sakit kuat telah membawa mereka mengutus surat kepada Tuhan. Ini kerana mereka mendengar dari seluruh penduduk kampung termasuk neneknya bahawa Tuhan itu Maha Besar dan Tuhan Maha Berkehendak. Tetapi, Allah terlalu hebat untuk didekati. Hanya satu perantaraan yang jitu dan ikhlas dapat mendekatkan manusia berhajat yang kerdil kepada Tuhan yang Maha Agung. Nah, dengan penuh simbolik Majid memahamkan penonton bahawa 'tawassul' atau 'perantaraan' amat penting dalam kesungguhan menghampiri Allah.
'Tawassul' seperti yang terkandung dalam sumber-sumber Islam menyatakan ia dapat dilaksanakan dalam dua bentuk. Pertama, 'tawashul' dengan zat Nabi Muhammad (sawa), para Nabi dan Rasul (as) serta para Imam yang suci seperti berdoa dengan kata-kata, "Oh Tuhan! Aku bertawassul kepadaMu dengan NabiMu Muhammad (saw), agar Engkau mengabulkan permintaanku."
Kedua, yang menjadi perselisihan para ulama ialah 'tawassul' dengan maqam atau kedekatan Nabi Muhammad (saw), para Nabi dan Rasul (as) serta para Imam yang suci seperti berdoa dengan kata-kata, "Oh Tuhan! Aku bertawassul kepadaMu dengan maqam dan kedudukan Nabi Muhammad (saw) dan dengan kehormatan dan haknya agar Engkau mengabulkan permintaanku."
Dalam al-Quran dan hadis, amalan 'bertawassul' atau berdoa kepada Allah dengan melalui perantaraan orang-orang suci yang dekat dengan Allah adalah dibenarkan. Dalil kepada hal ini terpancar menerusi surah al-Baqarah (ayat 37), "Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." Ayat ini merujuk kepada peristiwa Nabi Adam (as) yang melanggar perintah Allah lalu bertaubat setelah menerima 'beberapa kalimat' daripada Allah. Untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan 'kalimat' daripada Allah tersebut, sebuah hadis Nabi Muhammad (saw) yang dikutip oleh ulama-ulama terkemuka seperti Thabrani dalam 'Mu’jam as-Saghir' dan al-Baihaqi dalam 'Dalail an-Nubuwwah' dapat memahamkan persoalan 'tawassul' yang rumit ini. Hadis dengan sanad daripada Umar al-Khattab tersebut berbunyi: "Ketika Adam melakukan dosa, ia menengadahkan kepalanya ke langit dan berkata : Wahai Tuhan! Aku memohon kepadaMu dengan hak Muhammad (saw) agar Engkau mengampuniku.' Allah mewahyukan kepadanya : 'Siapakah Muhammad ?' Adam menjawab : 'Ketika Engkau menciptakanku, aku mengangkat kepala ke arah arasyMu dan aku melihat di sana tertulis : Tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah. Aku pun berkata kepada diriku bahawa seorang pun tidak ada yang lebih agung dari orang yang namanya Engkau tuliskan di samping namaMu.' Ketika itu Allah mewahyukan kepadanya : 'Dialah Nabi yang terakhir dari keturunanmu dan jika tidak kerana dia, nescaya Aku tak akan menciptakanmu.'
"
Hadis ini (meskipun menurut sesetengah ulama adalah maudhu’) dapat dirujuk dalam 'Mustadrak' oleh al-Hakim.
Kembali kepada 'Khudo Miyod', Majid menunjukkan ‘surat’ anak-anak tersebut sebagai hajat dan keperluan. Dan tentu anak-anak itu sepanjang malam berdoa dan berselawat sambil mengharapkan agar surat yang mereka sumbatkan bunga-bunga harum dari gunung itu akan tiba kepada Tuhan. Tuhan pasti Mendengar, Tuhan pasti membaca surat mereka. Dan surat yang meminta pertolongan Tuhan supaya menyembuhkan ibu mereka yang amat sakit itu tiba di tangan seorang pekerja pejabat pos yang amat sebak membaca isi harapan anak-anak kecil tersebut. Satu pelambangan kepada perantara, surat itu diajukan kepada pegawai atasannya yang mendorong simpati ramai. Pegawai pos kemudian memilih untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa tentang kisah anak yang meminta Tuhan datang merawat ibu yang sedang nazak. Tentu sahaja doktor dihantar ke kawasan pedalaman yang jauh itu untuk membantu sang ibu yang malang. Dan anak-anaknya kembali gembira. Tuhan sudah datang. Ya, Tuhan pasti datang. Meskipun filem ini amat sederhana tetapi dengan lakonan yang mentah (anak-anak yang berlakon diambil dari jalanan), dibaur oleh sinematografi bermakna yang meyakinkan, Majid menukar 'sinema maksiat' (sinema sekular) menjadi sebuah 'sinema spiritual'.
Tidak sedikit penonton yang menghayati filem ini tercerahkan dan mengalami perubahan dalam hidup. Dan tidak sedikit anak-anak yang belajar persoalan tauhid menerusi 'masjid seni' ini. Majid membuktikan cabaran Imam Khomeini (qs) untuk menatang agama dalam seni disambut.
Majid membuktikan bahawa penggiat seni juga dapat meraih saham akhirat dengan penerapan agama dan memahamkan khalayak apa itu tauhid.

No comments: